Welcome!

...اهلا و سهلا و مرحبا بكم...

Thursday, July 28, 2011

"saya bukan b'dendam..saya cuma tak dapat maafkan awak"



Saya fikir setiap daripada kita pastinya tak terlepas samada menjadi pihak yang melakukan kesalahan atau pihak yang menjadi mangsa kesalahan orang lain. Bagi saya sendiri perkara ini sangat penting kerana ia boleh diheret sampai ke mahkamah akhirat. Sebab itulah dalam sistem perundangan Islam terdapat 1 bab yang dinamakan sebagai mubahalah & sumpah li'an. Sistem ini digunakan apabila satu-satu kes itu tak dapat diputuskan oleh mahkamah dunia, yang mana Islam akhirnya memberi 1 solusi iaitu membawanya ke mahkamah akhirat yang pada ketika itu Allah Rabbul Jalil, Pencipta & Raja Sekalian Alam yang tiada 1 maklumat pun terlepas daripada penyaksianNya bakal menghukum kita.

Mungkin kita yang membaca maqalah ini sudah cukup kesedarannya tentang perihal pentingnya isu ini. Tapi tak dapat dinafikan, masih ramai di luar sana yang memandang enteng & sewenag-wenangnya melakukan kesalahan pada orang lain. Antara penyebabnya adalah kerana ceteknya ilmu agama & ditambah pula dengan salah faham disebabkan proses penerimaan ilmu yang tak berkualiti samada hasil dari kelemahan penyampai mahupun kelemahan si penuntut ilmu.

Dalam kesempatan kali ini saya sekadar mahu memperbahaskan beberapa bahagian daripada bab/isu ini. Kita akan lihat isu ini dalam lingkungan perbahasan Islam & juga perbahasan di luarnya.


1.Apa maksud maaf & apa bezanya dengan dendam?

Dalam penulisan saya pada label 'FENOMENA' ini, saya takkan merujuk banyak buku. Tambahan pula dalam keadaan saya menumpang di rumah orang ni, kelengkapannya sangat terhad. Jadi kebanyakan input maqalah datangnya daripada buah fikiran saya sendiri.

Baiklah, maaf bermaksud berlapang dada. Kita tak merasakan sebarang kesakitan apabila telah melalui fasa memaafkan. Dalam kata lain, kalau dada kita masih terasa sempit walaupun sudah melafazkan kata maaf, tu tandanya kita masih belum dapat memaafkan. Sebab tu ada pepatah Inggeris : "I can forgive you, but never forget".

Ada setengah orang dia mampu memaafkan & melupakan. Tapi segolongan yang lain pula hanya mampu memaafkan, tapi sukar untuk melupakan. Andai isu ini berlaku, apa penilaian yang tepat? Insya-Allah akan diulas dalam persoalan seterusnya kelak.




Selesai pentakrifan maaf. Ok sekarang apa pula bezanya dengan dendam? Dendam merujuk pada satu proses yang memakan masa, yang tak semestinya membabitkan kesalahan. Contohnya masa sekolah kecil-kecil dulu, kita pernah bawa handphone. Tiba-tiba ada seorang pengawas nampak & rampas. Akhirnya kita pun berdendam dengan dia. Kalau kita nak nilai situasi ni, pengawas tu tak bersalah pun. Tapi disebabkan rasa tak puas hati, maka kita pun berdendam. Dalam kes ni, berdosa tak si pengawas kalau tak minta maaf? Juga kita akan lihat dibawah nanti.

Pun begitu, disebabkan dendam ni adalah 1 proses, tak mustahil juga ia merebak pada perkara-perkara yang menjadi kesalahan. Contohnya seorang isteri yang selingkuh belakang suaminya. Apabila terbongkar, si suami bertindak menceraikan si isteri. Tapi setelah sekian lama memerhatikan si isteri berbahagia dengan lelaki tersebut, maka perasaan si suami yang pada mulanya tidak memaafkan, akhirnya bertukar menjadi dendam, lalu membunuh si lelaki & bekas isterinya. Ha! Dari sini juga kita dapat takrifkan bahawa dendam itu berkait rapat dengan pembalasan. Sebab tu ungkapan Melayu selalu cantumkan 'balas dendam' walaupun tak semua yang berdendam mampu untuk balas.




2.Apa pandangan Islam tentang dendam & kemaafan?

Ada beberapa orang yang tak berpuas hati datang bertemu saya. Katanya: "Kenapa Islam selalu anjur untuk memaafkan? Di mana keadilan bagi orang-orang yang teraniaya? Kata Islam tu adil?!"



Saya yang melihat keadaan saudara muslim yang begitu sangat takut andai aqidahnya goyah. Doa panjang dalam hati ini tak pernah terhenti sepanjang perbualan dengan beliau.

Ya, benar, Islam agama yang sangat lembut & menganjurkan keadaan harmoni. Malah melihat pada peribadi Rasulullah yang suka memaafkan pun dah cukup untuk dijadikan dalil & hujjah. Tapi Islam juga menyediakan garis panduan lengkap untuk sampai ke tahap itu. Panjang perbahasannya kalau saya nak merungkai satu-satu Fiqh Islamie. Doakanlah saya dapat bedah buku-buku fiqh untuk perkongsian bersama di blog ini.

Namun (secara ringkasnya), Islam membenarkan kita meletakkan syarat untuk mengharmonikan perasaan kita bagi memaafkan seseorang. Contohnya kita difitnah di khalayak ramai. Akhirnya si pesalah insaf & memohon maaf. Maka kita boleh letakkan syarat agar dia membuat kenyataan terbuka & pastikan fitnah itu tak tersebar lagi. Bagaimana caranya? Itu bergantung pada keadaan. Kalau perlu sampai buat sidang media, maka wajib atas pesalah untuk buat sidang media.

Itu kalau kesalahan umum. Kalau kesalahan tu bersifat peribadi, maka syaratnya juga boleh bersifat peribadi seperti "Aku boleh nak maafkan kau, tapi bagi aku tumbuk kau sekali!". Namun begitu, perlu diingatkan bahawa syarat tersebut tidak boleh menyalahi hukum syarak seperti bunuh diri, minum arak, berzina & lain-lain. Adapun syarat-syarat yang bersifat 'harus' di sisi agama boleh lah dilakukan atas dasar negosiasi. Jangan pula disebabkan syarat kita tu, berlaku pula lagi satu pertelingkahan. Jenuh pula kita yang pada asalnya diminta maaf, sekarang nak kena minta maaf pula dah.

Bagaimana pula dengan dendam? Ya, seperti kita sedia maklum, Islam sangat melarang dendam. Kerna dendam datang daripada hawa nafsu yang dibakar oleh syaitan. Bukan muncul berdasarkan hak, fakta & proses penilaian yang teratur, waras & bernas.

Saya pernah berhadapan dengan tuduhan bahawa Islam ini adalah agama dendam. Hujjahnya mudah. Kalau Islam ni betul agama yang harmoni, kenapa Salahuddin Al-Ayyubi ingin menakluk kembali Palestin? Maafkan jela orang kafir & lepaskan Palestin!

Jawabku mudah: "Kalau Salahuddin berdendam, pasti dia akan banjiri Palestin dengan darah kuffar seperti mana yang dilakukan oleh tentera Salib. Tapi fahamilah sahabatku, Islam tak menganjurkan dendam, tapi Islam membenarkan syarat maaf. Oleh sebab tu, syaratnya serahkan Pelaestin, & kami akan jaga kebajikan non-muslim. Kerna prinsip peperangan dalam Islam adalah untuk memberi, bukan merampas!"





3.Persoalan sekitar isu kemaafan & dendam.

  • Bagaimana andai kita bisa memaafkan tapi tak mampu untuk melupakan? Jawabnya, kita hanya perlu fokus bahagian kemaafan sahaja. Bukan bahagian memori kita. Sebab memori kita berkait rapat dengan biologi. Dan faktor biologi bukanlah bagian daripada kuasa kita untuk kawal & tentukan. Contohnya demam & selesema. Ni semua kita tak boleh kawal. Begitu juga dengan memori. Kita tak boleh hapuskan memori. Sebab tu orang selalu ungkap "Oh saya terlupa lah". Kalaulah ada orang yang ungkapkan "Saya sengaja buat-buat lupa". Tu tandanya dia ingat sebenarnya. Jadi soal ingatan, biarkanlah ia berlalu dengan masa. Sedangkan status permasalahan kita hanya bergantung pada kemaafan sahaja.
  • Berkenaan perihal dendam seperti kes pengawas tadi pula, maka tidaklah menjadi dosa pada si pengawas kerna dia sekadar melakukan tugas & amanah yang diberi. Tapi kalau dia melakukan kekasaran yang tak bertujuan sebarang bertugas, maka dia berdosa. Contohnya polis seperti di BERSIH. Mereka tak berdosa kerna mereka tak berkuasa. Tapi kalau mereka dengan sengaja tanpa arahan atasan, melampaui batas, maka mereka berdosa.
  • Bagaimana andai si pesalah hanya minta maaf lebih kurang je dengan kita? Atau mungkin dia tak rasa bersalah langsung! Dalam isu ni kita perlu lihat dari dua sudut. Kalau kita mangsa, maka atas dasar kemanusiaan, perjelaskanlah pada dia. Ya, memang susah nak buat. Masakan tidak, dia yang bersalah, kita pula dah yang kena terhegeh-hegeh? Sebenarnya bagi saya sekarang ni dah moden & ada 1001 cara nak selesaikan masalah. Ringkas cerita, kita boleh sindir-sindir di status FB atau kita tag maqalah ni pada si dia. & berdoalah agar dibukakan hatinya melihat kesalahnnya sendiri. Doa tu penting sangat-sangat tahu!
  • Kalau kita dah lafaz kata maaf, tapi hati tak lapang lagi. Kira masa tu kita sekadar nak larikan diri je, malas nak bicara panjang. Tapi kelamaan makin parah pula hati kita ni. Maka kita wajib bagitahu dia yang kita masih tak dapat maafkan dia. Andai kita tak bagitahu, maka masalah tu dikira selesai di akhirat kelak. Sebab kita dah lafaz kata maaf & dia pula tak tahu mengenai hati kita yang tak puas hati tu.


  • Kalau orang tak maafkan kita, kita nak berserah je ke? Di sini saya senaraikan cadangan yang boleh diusahakan ikut kreativiti masing-masing. Pertama, cari masa yang paling dia gembira. Raikan dia dan cubalah pujuk perlahan-lahan. Kedua, cari masa dia sakit. Pada masa tu, kalau kena cara pujuk & ambil hati, dia kan mudah memaafkan. Ketiga, cari masa ketika orang lain tengah hentam dia, tapi kita datang untuk membela dia. Pada masa ni dia akan rasa dihargai. Keempat, sentiasa berdoa sebelum & sepanjang usaha kita agar Allah bukakan hati dia untuk memaafkan kita. Percaya, kuasa doa sangat ajaib sampaikan benda yang tak masuk akal pun boleh berlaku. Syaratnya cuma yakin dengan Allah! Kelima & t'akhir, andai dah takde arah sangat dah, carilah kesalahan paling besar yang orang lain buat pada kita & maafkanlah. Inilah yang selalunya dianjurkan oleh ustaz & pakar motivasi sampai kita jadi keliru. Tapi memang benar, memaafkan orang lain boleh menghapuskan kesalahan kita pada orang lain juga. Cuma sampai setahap mana, itu hanya Allah yang tahu. Dan berdoalah agar kalaupun tak dapat dihapuskan, paling kurang, Allah dapat ringankan azab kita.
  • Kalau orang tu dah mati? Maka apa yang termaktub di akhirat kelak adalah perkara yang terakhir kita lalui bersamanya. Kalau status terakhir kita dengan dia masih lagi makan hati & bergaduh, maka macam tu juga lah statusnya di akhirat kelak. Tapi andai kita yang jadi mangsa, dan kita maafkan dia walaupun dia dah mati. Maka kesalahannya terampun. Tapi kalau sebaliknya, maka dia dah tak boleh buat apa-apa. Tapi kita yang masih hidup ni masih boleh sedekahkan pahala amalan. Cuma soal status pahala itu boleh menghapuskan kesalahan kita dengan dia, itu saya tak pasti & tak berani nak cakap sebab saya tak pernah lagi dengar perbahasan ke tahap tu. Mungkin boleh tanya ustaz lain dan kongsikan dengan saya beserta dalil-dalilnya.
  • Bagaimana pula kalau kesalahan kita terlalu banyak & telah lama berlalu? Jawabnya, gunakanlah apa-apa lafaz yang boleh/membenarkan dia mengungkit balik kesalahan tersebut. Misalnya: "Saya merayu, melutut, memohon pada awak kalau-kalau ada lagi kesalahan saya yang awak teringat & tak dapat maafkan, tolong lah bagitahu saya. Letak lah apa syarat sekali pun, saya dengan budi bicara awak, sanggup untuk tunaikan"



Khulasatul Qaul (pergulungan bicara), isu ini sangatlah besar di sisi Islam & orang yang beriman dengannya. Kerna itulah antara adab memohon maaf adalah dengan cara menyebut satu persatu kesalahan tersebut. Bukan dengan cara yang kebiasaan Melayu lakukan ketika raya dengan sekadar mengucapkan maaf zahir batin secara umum kemudiannya boleh bersuka-ria. Percayalah, ia tak semudah itu. Jadi jangan ambil mudah perkara ini.

Sungguh penulisan saya ini bukan lah mahu menentang mana-mana kenyataan ustaz-ustaz yang jauh lebih alim daripada saya. Bukan juga mahu menjadikan manusia semakin sukar memaafkan orang lain. Tapi saya menulis atas dasar kebenaran yang perlu saya sebarkan bersama manhaj yang saya berpgang dengannya.

Maka dikesempatan ini juga saya ingin memohon maaf kepada semua kenalan & sudilah menegur saya secara peribadi untuk saya tunaikan syarat kemaafan antum.Sungguh budaya memohon maaf bukanlah dilakukan ketika raya, tapi sebelum & sepanjang Ramadhan kerna fasa inilah fasa kita mahu bertukar menjadi bayi yang baru dilahirkan.

Dan bersempena Ramadhan kali ini, saya ingin menyampaikan sepotong pesanan bahawa Ramadhan ini tak membawa apa-apa makna buat orang-orang yang tak punya kesedaran & keinsafan. Tapi Ramadhan sangat bermakna bagi orang-orang yang merasakan dirinya sangat bersalah dengan Allah Ta'ala.




"...ya Allah Tuhan Penakluk Kerajaan Hati, Kau berikanlah pengadilan yang sewajarnya andai aku yang terzalimi. Tapi andai aku yang menzalimi, maka Kau bukakanlah pintu kesedaran pada hatiku & bukakanlah pintu kemaafan pada hatinya..."

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 

©2009 Syahadah | by TNB