Welcome!

...اهلا و سهلا و مرحبا بكم...

Wednesday, July 13, 2011

BERSIH 2.0 - Manakan Sama yang Membaca, Bercakap & Merasa







Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Penyayang..

Aku tahu sebelum aku menulis coretan ini, aku berhadapan dengan pelbagai golongan yang tidak bersetuju dengan BERSIH. Namun untuk setiap persoalan serta penghujjahan yang bakal dilemparkan pada aku setelah pembacaan perkongsian ini, bakal aku jawab dengan 1 jawapan iaitu: "manakan sama yang membaca, bercakap, & yang merasa".

Kisah aku bermula pada 1 malam ketika mahu pulang daripada selesai mengadakan program bedah video sirah Rasulullah s.a.w. Tiba-tiba sebelum aku memulas minyak motosikal, ada seorang adik menghampiri & bertanya, "Apa pandangan abang tentang BERSIH? Betul ke tindakan mereka?". Mengenali peribadinya yang masih belum punyai pengetahuan serta pendirian yang kukuh, lalu aku dengan bersahaja menjawab: "Ah! Pedulikan semua tu. Kita buat je kerja kita ya dik? Jangan jadi orang yang semangat, tapi salah cara. Jangan pula jadi orang yang tahu cara, tapi tiada komitmen". Lalu ku pulas minyak motor & berlalu. Di kejauhan aku lihat wajahnya tersenyum kebingungan.

Sungguh aku sendiri pun tidak punya pendirian yang kukuh. Dalam perjalan yang mengambil masa sejam untuk sampai ke rumah tumpanganku, sepanjang jalan aku cuba singkapi semua artikel/maqalah yang telah aku baca tentang BERSIH. Sama ada yang ilmiah/tidak, semuanya ada hujjah masing-masing. Aku tapis bahan-bahan tersebut pada yang ilmiah sahaja agar keputusanku esok adalah keputusan yang tepat & berasas.

Bila diingat-ingat balik, kebanyakan maqalah ilmiah lebih cenderung membantah BERSIH. Malah ada dalam kalangan mereka yang mencadangkan idea-idea yang BERNAS. Tiba-tiba, sedang aku syok berfikir merantasi embun pagi (pukul 1 pagi di atas lebuh raya), aku memotong 5 truck polis yang membawa anggotanya masuk ke KL. Dalam hati terdetik: "Esok nak berperang ke?"..Sampai sahaja di rumah, aku terlantar keletihan. Sememangnya badan terasa lesu & tak bermaya malam tu sampaikan aku tertidur selepas Magrib. Lantas aku melayan rasa mengantuk sambil berbisik dalam hati: "Kalau aku rajin, aku turunlah esok. Kalau tak, takdelah".

Keesokkan paginya beberapa SMS masuk. Minta aku turun bertugas. Tanpa dirancang, hati yang bermalas-malasan ini dikalahkan oleh kaki yang bergerak dengan sendirinya untuk bersiap-siap. Aku bawa pengikat kepala BERSIH serta baju debatku yang berwarna kuning bersama. Tapi aku sendiri hanya pakai kemeja kotak-kotak seperti orang mahu dating dulu-dulu.

Jam menunjukkan 1230 tengah hari. Keputusan masih belum dibuat. Lalu sahabat-sahabatku yang telah thabat(tetap pendirian) memulakan langkah. Perencanaan Allah memaksa aku ikut sekali lantaran aku antara yang punyai motosikal yang elok untuk dibonceng bersama.

Kami pergi beramai-ramai & terpecah pada 3 kumpulan disebabkan sekatan polis merata-rata tempat. Setelah meronda sana-sini, tiba-tiba kami terserempak dengan sekumpulan orang ramai yang sudah memulakan perarakan tapi dalam bilangan yang sangat kecil. Lebih kurang 400 orang sahaja. Kami terus meronda lagi. Sekali sekala kelihatan muslimat bertudung labuh & berniqab di jalanan. Hatiku berbisik: "Berani betul serikandi-serikandi ni. Moga Allah memelihara antunna semua. Aminn." Sehinggalah kami nampak di lorong hadapan kami ada perarakan sebanyak 1700 orang laju melangkah dengan bendera Sarawak. Masya-Allah, aku merasa betul-betul gerun melihat fenomena itu dengan mata sendiri.

Akhirnya kami buat keputusan untuk bergabung. Aku cari tempat yang paling selamat untuk Lucy aku berehat & bersedia beraksi andai berlaku kekecohan nanti. Kami menghampiri perhimpunan yang betul-betul berada dihadapan ibu pejabat Maybank. Aku duduk di bahagian belakang sekali melihat orang ramai bersorak: "bangkit-bangkit..KEADILAN!..hancur-hancur..KEZALIMAN!". Aku hanya berdiam, cuba untuk menyesuaikan diri sambil cuba untuk mengikut batas syarak dalam keadaan darurat sebegini.




Tiba-tiba sekumpulan FRU berada tidak jauh di belakang aku. Dan tidak semena-mena, seluruh perhimpunan berpusing arah & menjadikan aku yang pada asalnya duduk dibelakang sekali, kini berada di barisan paling hadapan untuk berdepan dengan FRU. Dalam hati aku berkata: "adess, tadi elok-elok duk belakang, sekarang jadi front-liner! Mampos la aku, dah la takde pengalaman langsung!". Kawan aku tergelak je tengok muka aku yang kebingungan. Mungkin dia ingat aku cuak. Tapi sungguh, sikit pun tak. Aku cuma taknak perhimpunan ni hilang kawalan diprovok oleh FRU. Bodoh lah kita kalau kita termakan umpan mereka nanti!

DDUUUSSSSSSS...!!!!


Air pancut bertekanan tinggi mula ditembak tanpa ada sebarang amaran lisan! Orang ramai mula pegang tangan mengedarkan surat khabar untuk tutup muka, air untuk minum & garam (yang ketika itu aku sangkakan untuk tonyoh kat mata bagi menghilangkan pedih gas, rupanya untuk dimakan. nasib baik tak amek masa dia edar tu.kalau aku tonyoh kat mata, tak pasal2 je..he2 lawak).

Dengan laungan takbir & pelbagai, manusia semakin semangat & membentuk saf yang rapat. Tak ketinggalan juga muslimat yang aku fikir pada ketika itu dia bersama dengan saudara lelakinya(sama ada suami,ayah atau abang). Aku dalam hati berharap agar tiada kemaksiatan berlaku sepanjang perhimpunan ni berlangsung.

POM!!...POPOM!!...

sssSSSSSuuuhhffff...peluru bergas lalu di sebelah mukaku. Aku menjerit: "jangan berpecah!!". Aku sangat takut andai polis ambil kesempatan atas perpecahan ini. Tiba-tiba!!.. Muka aku terasa panas! Pernafasan aku tersekat! Dada aku semput! Mata aku pedih! Hidung aku berair & tak boleh berfungsi langsung untuk menyedut! Asap disana-sini! Perut mula rasa memulas, terasa macam nak muntah!

Aku mula lari ke belakang mencari udara segar. Yang dibelakang aku pada asalnya dia orang, tiba-tiba terasa diri dihimpit-himpit, ditolak-tolak. Aku dikerumuni orang ramai. Sungguh pada waktu & ketika itu aku betul-betul rasa nak mati. Kaki aku dah tak daya nak melangkah. Mata aku terlelap sebentar seumpama ingin pitam. Dunia terasa gelap & aku mula mengucap. Andai ini pengakhiran hidupku, aku mohon maaf pada semua kenalanku


...




"Tolong!..Tolong!..Uhuk2.."... Kedengaran suara makcik & anak-anak gadisnya menjerit cuba untuk memanjat tebing yang sangat tinggi kerana jalan di hadapan sudah begitu sesak & penuh dengan gas pemedih. "Tak, aku tak boleh mati sekarang, aku mesti panjat tebing tu walau cemana pun!". Aku mula bergerak ke tepian. Ada sebatang tiang yang sangat bahaya untuk dipanjat. Ramai yang dah jatuh dari tiang tu. Tapi aku beranikan diri juga.

Aku panjat & melihat ada 4 orang muslimat & 3 orang lelaki jatuh tersungkur & cuba panjat tebing yang sama. Aku buat keputusan untuk naik dulu & angkat mereka dari atas. Itu lebih selamat & mudah. Alhamdulillah, aku berjaya. Dalam keadaan kaki yang lemah, sambil terbatuk-batuk aku cuba angkat mereka seorang demi seorang. Masing-masing menjerit "Abang tolong bang". Padahal aku paling muda kat situ. Tapi mungkin kerana penglihatan yang kabur, dia terpaksa panggil aku begitu.

Aku tak punya kelengkapan apa-apa. Air pun tiada. Ramai yang terdampar. Tapi aku tak sampai hati nak minta bantuan mereka sebab mereka sendiri pun tengah terdesak. Aku biarkan sahaja sakit & perit terkena gas ni hilang dengan sendiri.

Aku lihat pakcik-pakcik berkopiah. Makcik-makcik bertudung labuh. Semuanya tersadai. Aku terfikir, kalau lah aku yang muda remaja ni boleh semput setahap ini, bagaimana agaknya nasib warga emas yang lain. "Ya Allah selamatkan mereka ini ya Allah". Kaki aku senak di bahagian berhampiran punggung. Hampir setengah jam juga untuk reda.

Tiba-tiba!!!



"Woi nak lari mana tu ha?! Jangan lari! Tak habis-habis menyusahkan orang!". Sekumpulan 40 orang polis serbu kami dari belakang. Bayangkan tebing yang sangat tinggi tu, orang ramai berpusu-pusu untuk terjun. Aku turun menuju untuk terjun. Tapi aku fikir tu kerja gila sebab memang sangat tinggi! Aku tak sampai hati nak tolak orang depan. Lalu aku masuk di celah-celah pokok yang bagaikan semak. Aku tahu polis akan cek tempat ni, tapi tu lebih baik daripada aku ditendang dari belakang & menjatuhkan orang-orang di hadapan.

Kedengaran di luar sana bunyi tumbukan polis pada mangsa-mangsanya. Aku fikir bunyi tumbukan sekuat tu boleh mematahkan tulang. Hati kecil terasa ingin keluar & beri pertolongan. Tapi aku betul-betul kena jaga maslahah yang lebih besar. Taknak nanti ditangkap & menyusahkan orang ramai. Tangan mula terketar-ketar. Aku keluarkan handset, silentkan, dan mula mesej keluarga & orang terdekat untuk update & memohon maaf seandainya ini pertemuan terakhir.

Dalam keadaan yang penuh kerisauan itu, tiba-tiba aku rasa ada tangan memeluk lenganku. Rupanya ada makcik yang sangat ketakutan & mohon pertolonganku. Aku minta dia matikan handphone & banyak berdoa. Akhirnya polis mula beredar. Aku betul-betul tak sangka polis tak periksa tempat tu. Aku fikir mereka sangat bodoh. Tapi aku silap. Bukan mereka yang bodoh, sebab semak tu taklah tebal sangat. Jarang je. Tapi kekuasaan Allah mengatasi logik akal wahai kawan-kawanku. Sungguh aku cukup teruja.

Aku keluar dari semak & tak lama lepas tu hujan lebat turun. Aku berehat di sebuah kedai kopi bersebelahan sebuah hotel. Aku lihat ada insan-insan yang solat di atas jalan. Sungguh aku teruja melihat masih ada peribadi yang berpegang teguh dengan prinsip dalam keadaan darurat begini. Aku mula menaip SMS untuk dijadikan rekod bahan dalam perkongsian di blog nanti.



Setakat ini sahaja yang mampu aku tulis secara detail. Yang lainnya aku hanya mampu cerita secara ringkas.

Aku nampak seorang lelaki berbaju kuning dipijak kepala hanya untuk digari oleh 10 orang polis. Aku lihat seorang makcik ditengking & ditangkap hanya keran mempertahankan seorang mangsa tangkapan. Aku lihat ada seorang lelaki patah kaki & dibawa naik teksi untuk dihantar ke hospital. Kata orang ramai polis yang sepak kaki dia sampai patah. Aku lihat YB India & Cina ditangkap. Aku lihat ada seorang lelaki mengutip sampah mencari rezeki selepas perhimpunan bersurai.

Apa yang aku dapat daripada BERSIH?

1. Tak semua polis biadap. Ada segelintir sahaja seperti gangster. Aku sendiri berborak dengan seorang FRU yang merah matanya kena gas pemedih. Dia sangat ramah. Dalam hati aku terdetik agar dia dapat pengaruhi kawannya yang lain agar bertugas dengan prinsip & etika Islam yang berperang bukan untuk merampas, tapi mahu berikan yang lebih baik.

2.Dalam keadaan orang-orang muda yang semangat maju ke hadapan, perlu ada orang-orang muda yang menjaga di barisan belakang. Kebajikan setiap ahli perhimpunan perlu dijaga rapi.

3.Sangat-sangat tidak digalakkan anak-anak kecil, perempuan serta warga emas turun ke perhimpunan. Aku tahu semangat & keikhlasan antum semua. Tapi cukup lah rijal-rijal yang perjuangkannya. Ya, memang tak cukup. Sebab laki-laki dayus & pengecut di luar sana lebih ramai. Tapi tolonglah, laki-laki yang berani turun ini nilaiannya dah cukup 1:10. Antum yang lain kalau nak turun pun biarlah bertugas sebagai jururawat/media.

4.Peserta perhimpunan BERSIH perlu BERNAS dalam setiap tindakan. Perlu jelas fikrahnya. Perlu cakna syaraknya. Perlu berhati-hati dengan provokasi polis samara yang aku lihat ada 700 lebih berpakaian awam tapi sebenarnya mereka polis yang pada mulanya turut serta dalam perhimpunan & kemudiannya jalan bersama-sama dengan polis berpakaian seragam.

5.Aku lelaki yang pengecut, lemah & tak boleh diharap. Andai ini peperangan sebenar, pastinya aku termasuk golongan yang pembelot, lari daripada tanggungjawab & tugasan. Memang ramai rakan-rakan yang kata aku begitu. Tapi sedikit pun aku tak terasa. Memang benar stamina & kekuatan fizikalku berada di tahap paling rendah. Dan memang ini aspek yang banyak ditinggalkan oleh aktivis dakwah malah orang awam. Dalam zaman internet & game sekarang, ramai yang hanya berhujjah di alam maya, berperang & main bola dalam game tapi bila turun di lapangan, fizikal kita sangat lemah!



Akhir kalam, suka untuk aku nyatakan betapa bencinya aku pada sistem demokrasi acuan kafir ini yang telah banyak membawa kemusnahan pada dunia ini. Dan demonstrasi bukanlah jalan yang terbaik tapi ia boleh jadi kunci untuk menuju jalan yang lebih baik.

Ada yang berhujjah pengikut BERSIH ni banyaknya di kalangan Melayu yang sanggup jadi anjing orang-orang kafir. Tapi mereka lupa, tanpa keberanian mereka yang turun ini, hak Melayu akan lebih terhakis dek kedangkalan geng-geng yang hanya pandai sembang belakang ni. Berhujjah itu & ini, merungut bila terkena batang hidung sendiri. Marah bila harga barang naik, tapi tak pandai nak menyusun tindakan. Tak nampak apa kaitannya pilihanraya yang adil & bersih mampu menyelesaikan masalah harga barang. Sungguh aku dah bosan dengan golongan-golongan yang kuat sembang sebegini. Kononnya bijak dengan kata-kata masing-masing. Lebih suka duduk diam & mengkritik. Bila orang yang berusaha gagal, mereka mengeji. Tapi bila berjaya, mereka tak segan silu menumpang nama.

Cukuplah demonstrasi kali ini membuka mata aku kalaupun ia tak membuka hati antum. Sungguh aku takde kepentingan politik. bagi yang kenal aku secara peribadi, mereka lebih tahu fikrah & pendirianku yang neutral & seimbang. Cuma... Dari seni aku belajar keperitan rakyat. Di sini aku belajar erti sebuah perjuangan. Di sini aku belajar merasa takut & bertanggungjawab. Di sini aku sedar kepentingan tarbiyyah agar kelak rakyat yang faham mampu mengubah negara dengan cara yang lebih tenteram. Di sini aku belajar agar tidak menjadi ulama'/pemikir Islam yang berfatwa di bawah sejuk penghawa dingin. Di sini aku belajar bagaimana seorang pemimpin boleh lupa daratan. Di sini aku belajar segalanya secara praktikal. Maka dengan itu, aku berani berkata & berhadapan dengan semua yang terus menyalahkan aku dengan 1 ungkapan yang bisa buat antum membisu:

..takkan sama orang yang membaca, bercakap dengan orang yang turun padang, melihat & merasa dengan mata kepala sendiri..

*maaf tiada gambar sendiri sebab tak mahu niat bercampur dengan perkara-perkara lain


-Luahan benar : Abu Ridha Asy-Syahadah 

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 

©2009 Syahadah | by TNB